Matlamat, Harapan dan Kehidupan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, menjelang pengakhiran tahun 2018 ini muhasabah akan segala pencapaian kita sangat perlu. Sebelum kita terlalu menantikan kedatangan tahun yang baru tiba, lebih bermakna untuk kita fokuskan target kita hingga ke hujung detik 2018 ini.

Sepanjang tahun ini banyak yang berlaku dan telah dilalui. Pelbagai cabaran dan ujian ditimpakan ke atas kita. Ianya bukan sekadar ujian sahaja, ia lebih mematangkan dan memberikan pengajaran yang bermakna untuk kita sendiri. Jadi jangan jadikan ujian itu sebagai pengakhiran untuk kita teruskan perjuangan hidup kita hari ini dan esok.

 

Matlamat dan Harapan

Setiap dari kita, hidup perlukan matlamat sekurang-kurangnya kita fahami apa yang kita mahukan dalam hidup kita hari ini. Rugi dan sia-sia jika seharian kita hanya sekadar hidup, bekerja, makan, minum dan tidur setiap hari dengan keadaan yang sama.

Orang yang hidupnya bermatlamat, secara amnya nampak seperti melakukan rutin yang biasa. Namun dalam pemikiran dan kotak fokus mereka ada matlamat dan target yang perlu dicapainya juga dengan apa cara sekalipun.

Sepanjang tahun 2018 ini, kurangnya menulis artikel dan aktiviti online yang bersahaja. Lebih fokus kepada bisnes, kerja hakiki dan kehidupan yang hakiki semenjak bertukar status. Untuk kejar matlamat sepanjang tahun ini, pengorbanan dari sisi yang lain terpaksa dikorbankan untuk mendapat sesuatu dari sisi yang lain yang lebih berharga.

 

Harapan dan Kehidupan

Begitulah jua dalam kehidupan kita, tak semua orang akan berjaya sama seperti kita berjaya pada hari ini. Tak semua orang ada apa yang kita ada hari ini dan begitulah sebaliknya. Apa yang kita miliki dan berjaya capai pada hari ini percayalah ia adalah dalam lingkungan kemampuan dan keperluan kita semasa. Allah S.W.T akan beri apa yang kita perlukan sahaja.

Sepanjang tahun ini, ramai kenalan dan sahabat telah pergi meninggalkan alam dunia ini. Tidak kurang juga ramai yang mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata. 90% matlamat saya pada tahun ini juga telah tercapai termasuklah berjaya menghapuskan semua hutang yang jahat. Alhamdulillah.

 

Dari Al Miqdad Ibnul Aswad ia berkata:

“Demi Allah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang berbahagia adalah orang yang dijauhkan dari fitnah. Sesungguhnya orang yang berbahagia adalah orang yang dijauhkan dari fitnah. Sesungguhnya orang yang berbahagia adalah orang yang dijauhkan dari fitnah. Dan barangsiapa yang mendapat ujian lalu bersabar, maka alangkah bagusnya.”

(HR Abu Daud No: 3719) Status: Sahih.

 

Semoga kita diberikan kehidupan yang baik, perjalanan hidup yang baik dan pengakhiran hidup yang baik. Kejarlah apa yang perlu kita kejar sebelum kita terlambat dan tertinggal demi masa depan kita hari esok dan kelak nanti.

Bergiat dalam penulisan blog bermula pada tahun 2010. Berkongsi tentang informasi, tips, teknik, kesihatan, pendidikan, bisnes dan gaya hidup yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Pendapat saya mungkin berubah-ubah dari semasa ke semasa. Terima kasih.

Leave a Reply

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!