Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh, kali ini Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk menjadi program pendakian bagi tahun 2017. Program mendaki telah menjadi satu program rutin bagi setiap tahun bagi penulis dan beberapa rakan kenalan. Mendaki bukan sahaja semata-mata aktiviti tapi masih banyak lagi kelebihan boleh dikecapi dalam program sebegini.

Mendaki juga boleh dikategorikan dalam aktiviti bersukan juga kerana melibatkan pergerakan anggota badan. Tambahan itu juga sedikit senaman pemanasan badan sebelum mendaki adalah diperlukan. Akan tetapi beberapa latihan menjana stamina sebelum mendaki adalah digalakkan. Latihan ini mungkin bermula dua atau tiga bulan lebih awal sebelum hari sebenar mendaki.

 

Program Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk

Program ini adalah sambungan daripada program-program pendakian yang terdahulu. Tahun lalu program seperti Gunung Angsi Hiking Challenge pada tahun 2016 berjaya disertai hampir 30 orang peserta. Peserta-peserta juga adalah dikalangan ahli rakan sekerja dan terdekat sahaja.

Namun kali ini program Mendaki Gunung Datuk kali ini hanya disertai hampir 13 orang sahaja. Peserta-peserta juga ada yang bertukar-tukar, ada yang sudah berhenti kerja, ada yang tidak dapat sertai pada tarikh program. Malah ada juga yang baru bekerja dan segan-segan ingin sertai program pendakian ini.

Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Program pendakian ini telah diadakan pada 30 April 2017 yang lalu berjaya mengumpulkan seramai 13 orang iaitu 10 peserta perempuan dan selebihnya peserta lelaki. Beberapa orang peserta yang sepatutnya turut sama program ini terpaksa tarik diri pada saat-saat akhir kerana ada urusan lain.

Namun begitu ini tidak mematahkan semangat kami yang lain untuk meneruskan pendakian ini walau dalam jumlah yang sedikit sahaja.

 

Mendaki Gunung Datuk Tak Sukar

Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Mendaki Gunung Datuk ini sebenarnya tidaklah terlalu sukar, tetapi stamina dan tenaga tetap diperlukan untuk aktiviti mendaki dan sukan. Dengan ketinggian Gunung Datuk ini kira-kira 2,900 kaki dari aras laut ini akan memberikan anda kepuasan apabila berjaya sampai ke puncak.

Program pendakian kami seperti biasa akan bermula dari jam 7 pagi lagi. Mula bertolak dari Senawang sejam sebelum waktu solat subuh lagi supaya tak lewat untuk mulakan pendakian.

Dengan itu, tepat pada jam 7 pagi hari kami dah boleh mulakan program pendakian kami. Seperti program-program sebelum ini juga, program ini dimulakan dengan sedikit taklimat ringkas dari pengarah program dan sedikit senaman memanaskan badan. Tak ketinggalan juga bacaan doa selamat untuk memulakan pendakian.

Buat yang pertama kali ingin mendaki di Gunung Datuk ini jangan terkejut pada jam 7 pagi hari parking kereta sudah penuh. Anda mungkin perlu parking di lorong masuk dan berjalan kaki menuju ke kaki gunung ini. Jadi mungkin boleh datang awal lagi dan rancang perjalanan dan program pendakian dengan berhemah.

 

Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Pengalaman dan Keseronokan

Selain bekerja seharian, kita pastinya ingin lakukan aktiviti dan perkara yang lain daripada bekerja dan kaitan dengannya. Kita perlu akui bahawa kita hidup bukan untuk bekerja semata-mata walaupun kita memang memerlukan wang dan keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Gunung Datuk dengan kecondongan hampir 80 ke 90 darjah juga terdapat beberapa tempat untuk berehat seketika. Pendakian adalah lebih mencabar berbanding mendaki Gunung Angsi Bukit Putus, Negeri Sembilan.

Pendakian yang memakan masa hampir dua jam ini juga sangat menyeronokkan. Ini bukan sahaja faktor semula jadi hutan dan suasana gunung itu sendiri. Kesibukan pendaki yang naik dan turun juga menambahkan lagi keceriaan dan suasana mendaki.

Kebanyakan pendaki apabila berselisih semasa pendaki yang lain, seperti kita sedang mendaki naik dan mereka yang mendaki turun kebanyakan memberi semangat untuk mereka yang sedang mendaki. Amalan sebegini memang patut diamalkan antara pendaki, ada yang memberi salam sesama Islam dan ada yang mengucapkan selamat pagi. Malah tak terkecuali juga yang memberikan kata-kata semangat kepada kita yang sedang mendaki.

 

Mendaki Gunung Biarlah Sampai ke Puncak

Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Bila kita ingin mendaki ke sesebuah gunung biarlah sampai ke puncak. Susah dan senang, peluh dan penat semasa mendaki adalah pengalaman dan cabaran sebenar dalam mendaki.

Aktiviti sebegini membuatkan kita rasa serik tak nak dah mendaki lagi selepas ini, sebabnya kita rasa amat penat dan lelah. Tambah lagi dengan kebas kaki dan kejang urat nak melangkah dan mendaki.

Amat rugi kalau kita terus berputus asa untuk tidak meneruskan aktiviti mendaki kita sehinggalah ke puncak. Apa yang membuatkan kita rasa penat dan tidak mampu lagi meneruskan pendakian?

Adakah kita benar-benar telah membuat latihan dan tingkatkan stamina sebelum mendaki gunung? Alang-alang sampai jangan biarkan balik tapi tak sampai ke puncak. Penat, berehat sekejap dan sambung selepas itu pendakian.

Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Disamping itu adalah penting untuk membawa bekalan air masak dan beberapa coklat sebagai bekalan tenaga semasa mendaki.

Minum air masak sebagai mengimbangi kembali air dalam badan yang telah dikeluarkan melalui peluh kita.

Manakala makan coklat semasa mendaki boleh mengelakkan hilangnya tenaga dan mengurankan rasa penat.

Namun janganlah terlalu bergantung pada dua perkara ini semata-mata sehingga tidak mengambil apa-apa sarapan sebelum mendaki gunung. Lihat beberapa pemandangan dari puncak Gunung Datuk ini hasil daripada program Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk yang serba ringkas ini.

 

Pemandangan di Puncak Gunung Datuk

Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Untuk menuju ke puncak Gunung Datuk ini anda perlulah melalui dan mendaki lalu batu ini, ini bukan batu belah batu bertangkuk. Walaupun sedikit sukar dan gayat bagi sesetengah orang kawasan ini tetap menjadi tempat tumpuan pendaki untuk terus naik ke puncak Gunung Datuk ini.

 

Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Ini pula adalah pemandangan dari atas puncak Gunung Datuk 2017 menunjukkan kawasan untuk berehat dan lepak seketika sebelum mendaki batu besar seperti gambar diatas. Bagi yang gayat untuk ke puncak dan takut untuk melalui batu besar tadi maka mereka akan berhenti dan berehat disini sahaja.

Cuaca pada waktu pagi sebelum jam 9 pagi tidak begitu panas memberikan keselesaan untuk kita lepak dan berehat di sini. Jadi sambil menunggu rakan yang lain mendaki ke puncak gunung berehat di kawasan ini sudah cukup nyaman dan menenangkan.

 

Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Ini adalah antara yang berjaya sampai ke puncak awal manakala yang selebihnya sampai kemudian kerana menunggu beberapa rakan lain yang ketinggalan di belakang. Cuaca dan hari yang baik telah memberikan peluang kepada kami untuk berehat di puncak gunung ini hampir setengah jam. Tak boleh terlalu lama kerana ramai lagi yang sedang menunggu giliran untuk bergambar dan santai-santai di puncak Gunung Datuk ini.

 

Lokasi Program Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk

Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk 2017

Gunung Datuk ini yang terletak di Rembau Negeri Sembilan ini mengambil masa hampir 30 hingga 45 mini perjalanan dari  bandar Seremban. Jika bertolak dari arah Seremban anda pasti melalui pekan Rembau sebelum sampai ke Gunung Datuk ini. Amat senang untuk ke tempat ini pastinya anda boleh jadikan ia sebagai program Ekspedisi Mendaki Gunung Datuk bersama rakan-rakan.

Di kawasan Gunung Datuk ini juga ada disediakan kafe untuk anda minum dan makan. Jika tidak anda boleh ke pekan Rembau yang jauh tidak lebih 5 minit perjalanan dari gunung ini. Di pekan ini terdapat banyak pilihan gerai dan kedai makanan boleh pilih tempat makan pilihan anda.

Bergiat dalam penulisan blog bermula pada tahun 2010. Berkongsi tentang informasi, tips, teknik, kesihatan, pendidikan, bisnes dan gaya hidup yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Pendapat saya mungkin berubah-ubah dari semasa ke semasa. Terima kasih.

41 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge

error: Content is protected !!