• Home
  • /
  • Lifestyle
  • /
  • Jangan Kemalangan Selepas Asar di Bulan Ramadhan
Jangan Kemalangan Selepas Asar di Bulan Ramadhan

Jangan Kemalangan Selepas Asar di Bulan Ramadhan

Ya betul apa yang ditulis tajuk entri ini, jangan kemalangan selepas Asar di Bulan Ramadhan tapi ini bukan untuk kemalangan besar hanya yang kecil saja.

Boleh ke tidak boleh kemalangan ini dirancang? Kalau rasa boleh teruskan membaca dan kalau rasa tidak boleh pun teruskan juga membaca supaya anda faham situasi sebenar yang berlaku.

Jangan Kemalangan Selepas Asar di Bulan Ramadhan

Kenapa jangan kemalangan dan kenapa selepas asar di bulan Ramadhan? Ini cerita benar bukan rekaan semata-mata.

Beberapa hari lalu saya berkunjung ke bazar Ramadhan di sesebuah taman dengan rasa tidak larat hari tersebut saya menguatkan kaki saya juga melangkah demi menjadi juadah berbukan puasa dengan hanya membeli air dan nasi saja, biasalah orang bujang makan pun mudah-mudah saja.

Sehabis membeli-belah makanan yang sedikit saja saya menuju ke tempat letak kenderaan di bahu jalan raya saja, Baru saja melangkah keluar dari bazar “Bumppppppppp” bunyi kuat depan-depan mata saya sendiri tetiba seorang lelaki ini telah jatuh motosikal dan sedikit terseret terkena pembahagi jalan.

Motosikal kelihatan jatuh atas kakinya dan terseret sedikit kedepan dan terhenti setelah dia tersekat pada pembahagi jalan. Agak terkejut juga sebab jarang-jarang sekali saya melihat kemalangan di depan mata sendiri.

Selepas itu ramai yang berhentikan kenderaan bagi hanya memberi laluan lelaki itu bangun dan ketepi jalan saja setelah itu trafik lalu lintas bergerak seperti biasa umpama tiada apa-apa yang berlaku.

Lelaki itu kelihatan seperti pening-pening dan rasa bengang, saya terus mendekati dia dan bertanya kenapa boleh jatuh.

Rupa-rupanya ada kereta keluar dari tempat letak kereta di bahu jalan secara melulu dan terus pergi begitu saja walaupun dah tahu ada motosikal jatuh belakang kereta yang keluar tersebut.

Pada mulanya saya ingat dia elak daripada sebuah kereta BMW sebab masa itu juga ada sebuah BMW yang berada di sebelah lelaki yang jatuh motosikal ini.

“Bro, jom saya hantar pergi klinik, tangan dah berdarah tadi pun motor jatuh atas kaki”, saya tawarkan nak hantar dia, seorang lagi lelaki yang tolong dia tadi kini tolong jaga motor yang kemalangan itu sementara saya bawa dia pergi ke klinik berdekatan.

Selepas Asar di Bulan Ramadhan

Apa jadi selepas Asar di bulan Ramadhan ialah saya membawa lelaki tersebut ke klinik yang hanya 50 ke 100 meter dari tempat kejadian, malangnya saya pun orang baru di kawasan ini jadi sedikit terpinga-pinga mana klinik yang ada berdekatan.

Sambil berinteraksi dengan lelaki yang sakit itu, saya dan teman saya cuba meredakan kerisauannya sebab tengok dia sedang tahan kesakitan. Sampai saja di depan pintu klinik saya papah dia nak masuk ke Klinik, rupanya Klinik tutup!

“Harap maaf, sempena bulan Ramadhan….. bla bla bla…… pukul 5-8 …”, terasa bengang sekali boleh Klinik 24 jam tutup pula selepas Asar sampailah selepas Maghrib.

Lelaki yang kesakitan tadi dahlah jalan tempang dah, muka jadi frust pula sebab klinik tutup.

Tak pa saya yakinkan dia lagi dengan membawanya pergi ke klinik-klinik lain sebab kawasan itu memang jauh dari hospital.

Pergi klinik lain yang jaraknya beberapa kilometer dari tempat kejadian,

  • PoliKlinik A 24 Jam – Tutup 5 petang hingga 8 malam
  • Klinik A 24 jam – Tutup 5.30 petang hingga 8.30 malam
  • Klinik B – Tutup 6 petang hingga 8 malam
  • Klinik Kesihatan *** – Tutup 5 petang sampai esok hari
  • Klinik C – Tutup 6 petang hingga 8 malam
  • Poliklinik B 24 Jam – Tutup 5 petang hingga 8 malam
  • Hampir semua klinik 24 dan swasta tutup waktu petang begini

Hampir sejam lebih saya bawa lelaki tersebut mencari klinik, dia sudah tak mampu bercakap apa-apa sebab menahan kesakitan, kita pula yang rasa bersalah tolong orang tapi tak sampai-sampai klinik yang buka pada waktu itu.

Sehingga 3 minit sebelum berbuka puasa petang itu pergi ke Poliklinik yang terakhir 24 jam pun tutup juga!

Sebelah Poliklinik itu ada sebuah Hospital Specialist,

“Macam mana bro, habis semua klinik kita dah pergi dan semua tutup ada specialist saja sekarang….” , saya tanya dia dengan berat hati.

“Masuk je tak kisah…..”, jawab dia tak cakap panjang sebab dah tak tahan sejam lebih berada dalam kereta mencari klinik. Saya dan teman saya pula menjadi serba salah.

Sebabkan itu keputusan dia saya terus hantar dia ke specialist.

Masuk saja, saya uruskan pendaftaran dia dan disoal pula oleh pihak hospital,

“Pesakit ada insurans tak?”

“Saya tak pasti sekejap saya tanya dia macam mana….”, kita pun naik cuak juga.

Dia jawab tak ada insurans, saya dah terangkan kalau tak ada insuran kena bayar tunai dan dia cakap ok saja. Saya terus hubungi keluarganya untuk maklumkan apa yang berlaku dan anaknya ada di hospital tersebut.

Sedikit terkesima apabila keluarganya mempersoal macam-macam dan cuba pertikai kenapa hantar ke specialis, saya sudah bantu dia sekadar yang termampu dan itu keputusan dia nak ke situ lagipun hospital kerajaan atau hospital besar memang jauh.

Nak pegi jalan tengah jem, saya bukan bawa ambulans nak potong sana-sini jaraknya juga memang jauh. Specialis itu hanya kebetulan setelah semua klinik terdekat kawasan itu tutup.

Saya tak cakap banyak, cuma saya khabarkan saya tolong hantar dia sebab dia memang sakit dan perlukan rawatan.

Sudah habis cakap dan serahkan kepada pihak hospital nombor keluarganya saya terus beredar ke tempat kejadian dan selesaikan pula motosikalnya yang dijaga oleh seorang lagi lelaki yang bantu angkat dia tadi.

Sejam lebih lelaki itu tunggu dan berbuka puasa disitu sementara kami cari Klinik, kesian juga kat orang yang menunggu semoga Allah membalas atas jasa baik dia menunggu.

Pesanan ringkas, jangan persoal banyak orang yang dah tolong anak atau sedara kita, sebaliknya ucap terima kasih dan cakap “saya datang segera”, nasib baik bulan Ramadhan saya tak “cakap balik” tapi saya nasihatkan datang segera saja.

Saya tak minta keluarganya ucap terima kasih kat saya sekalipun cukup saya bantu orang sakit hantar ke klinik atau hospital berdekatan sebab saya sendiri melihat kejadian berlaku di depan mata.

Saya tak kenalkan nama dan siapa saya pun sepanjang perjalanan bawa dia ke klinik dan keluarga beliau pun saya tak sempat jumpa. Semoga beliau cepat sembuh dan dapat beraya dengan gembira.

Ingat kemalangan bukan suatu dirancang jadi pihak klinik harus fikir juga orang yang sakit bukan ada masanya kalau nak sakit atau cedera bila-bila masa saja.

Sekian.

Bergiat dalam penulisan blog bermula pada tahun 2010. Berkongsi tentang informasi, tips, teknik, kesihatan, pendidikan, bisnes dan gaya hidup yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Pendapat saya mungkin berubah-ubah dari semasa ke semasa. Terima kasih.

6 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge

error: Content is protected !!