• Home
  • /
  • Islam
  • /
  • Bulan Rejab 1434H – Tingkatkan amalan kita
Bulan Rejab 1434H - Tingkatkan amalan kita

Bulan Rejab 1434H – Tingkatkan amalan kita

Bulan Rejab 1434H sudah tiba. Sedar tak sedar waktu cepat berlalu, mungkin ramai yang hampir terlupa akan bulan-bulan dalam Islam dan peristiwa-peristiwa yang berlaku kerana kita terlalu mengejar duniawi.

Bukan ingin kata saya ini seorang yang alim, tapi kadang-kadang terfikir dan muhasabah diri sendiri.

Bulan Rejab 1434H

Doa memasuki Bulan Rejab

“Ya Allah Ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikan (Hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadhan..”
(HR Baihaqi)

 

Dalil kesahihan Doa Bulan Rejab

 Sabda Rasulullah S.A.W, diriwayatkan oleh Anas R.A
“Adalah Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam apabila masuk bulan Rejab, baginda mengucapkan doa tersebut”
(Ruj. Al-Azkar an-Nawawiyyah)

 

Peristiwa di dalam Bulan Rejab

Antara peristiwa yang berlaku di dalam bulan ini ialah seperti:

  • Israk dan Mikraj
  • Solat 5 waktu difardhukan ke atas umat Islam
  • Perak Tabuk

 

Bulan Rejab 1434H – Usaha Tingkatkan Amalan

Mengapa sebenarnya saya tulis bulan Rejab ini adalah bulan tingkatkan amalan kita?

Jika dulu waktu di bangku persekolahan, Bulan Rejab sangat popular dengan Bulan Solat di Kelantan.

Setiap kali tibanya bulan Rejab, kami akan diingatkan akan kempen solat ini. Kempen Bulan Solat ini dianjurkan oleh Kerajaan Kelantan dibawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Mereka mempromosikan bulan ini, dengan pelbagai aktiviti, termasuklah ceramah Bulan Rejab di sekolah. Ceramah ini bagi mengingatkan bahawa supaya perbaiki lagi kualiti solat kita sebab ianya adalah bulan difardukan solat.

Selain itu ada juga yang menganjurkan Solat Tahajjud di masjid-masjid dan surau-surau. Begitu cara Tok Guru mendidik rakyat Kelantan secara tidak langsung.

Jadi sampai hari inilah perkara ini melekat dalam minda ini, setiap kali masuk bulan Rejab akan ingat bahawa ianya Bulan Solat perlu tingkatkan lagi kualiti dan jika mampu kuantiti juga dengan solat-solat sunat.

Hukum beramal di Bulan Rejab

Ramai yang sebar bermacam-macam jenis versi amalan di Bulan Rejab, tanpa mengetahui benar atau tidak kesahihan maklumat tersebut.

Sedikit video penjelasan daripada Ustaz Azhar Idrus mengenai amalan di Bulan Rejab, harap tonton pinjam masa beberapa minit saja.

Intipati Bulan Rejab Pada Kita

Jadi apa intipati bulan rejab ini kepada kita?

Kedatangan bulan ini bukan sekadar kita membaca doanya, bukan sekadar pergi majlis-majlis ilmu, ceramah israk mikraj tapi apa yang penting bagaimana kita memanfaatkan bulan ini.

Andai kata sebelum ini masih ada catat cela pada solat kita, di sinilah kita perlu mula memperbaikinya kerana kelak di Bulan Ramadhan solat terawikh pula perlu dikerjakan. Jika solat tidak sempurna, sempurnakanlah – lihat pada diri sendiri di mana umur kita hari ini dan adakah amal kita mampu mengimbangi umur kita hari ini?

Harap korang juga jadikan bulan ini adalah bulan Solat kelak di bulan Sya’aban kita mula disunatkan perbanyak puasa.

Penulisan ini bukanlah sebagai tulisan kepada pembaca semata-mata ia juga sebagai peringatan kepada saya yang menulis ini.

Semoga bermanfaat dan selamat beramal. 🙂

Bergiat dalam penulisan blog bermula pada tahun 2010. Berkongsi tentang informasi, tips, teknik, kesihatan, pendidikan, bisnes dan gaya hidup yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Pendapat saya mungkin berubah-ubah dari semasa ke semasa. Terima kasih.

24 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge

error: Content is protected !!