• Home
  • /
  • Tips
  • /
  • 5 Persediaan Sebelum Berhenti Kerja Untuk Mula Bisnes

5 Persediaan Sebelum Berhenti Kerja Untuk Mula Bisnes

Ekonomi semakin mencabar hari demi hari. Anda tak perlu menjadi pakar ekonomi sekalipun. Hanya melihat poket dan simpanan kita sendiri pun sudah tahu di mana tahap ekonomi kita sendiri. Apa persediaan sebelum berhenti kerja untuk mula bisnes sepenuh masa? Semua orang akui bahawa bermula berniaga menjadi salah satu resepi duit lebih.

Hakikatnya orang berniaga ini ada duit lebihan sebab mereka ingin membuat pusingan modal. Jadi mana datangnya modal kalau tak banyak pun bermulalah dari sedikit. Saya sendiri pun sejak dari zaman kolej sudah mula berniaga dengan apa sahaja yang saya ada. Modal tak sampai beratus pun duit tapi tetap berniaga sebagai duit sampingan.

Tapi hari ini bila anda berada dalam kalangan umur 20 keatas anda perlu fikir ingin jadikan bidang perniagaan ini satu kerjaya anda sendiri yang berjaya! Lihat 5 persediaan sebelum berhenti kerja untuk mula bisnes sepenuh masa buat anda yang masih kerja makan gaji. Buat yang tidak bekerja makan gaji boleh juga jadikan panduan.

 

Pastikan Ada Duit Simpanan dan Kecemasan

5 Persediaan Sebelum Berhenti Kerja Untuk Mula Bisnes

Ini sangat penting, apabila anda berhenti kerja bermakna anda sudah tiada lagi wang wajib masuk setiap bulan secara tetap atau namanya gaji. Duit simpanan dan kecemasan amat perlu kerana permulaan berniaga anda perlukan wang ini untuk menampung sara diri terutamanya bayaran bil, sewa, makan minum dan sebagainya.

Bagi yang kecemasan juga penting bagi waktu sakit. Kalau tak ada perlindungan Takaful boleh hubungi saya untuk dapatkan plan Takaful yang sesuai.

Jadi jika anda sudah mula berniaga secara kecil-kecilan sekarang bolehlah mula menyimpan keuntungan perniagaan anda. Selain itu boleh juga buat simpanan sendiri dari lebihan wang gaji bulanan anda. Pastikan wang ini tidak digunakan untuk tujuan lain. Serta pastikan anda berdisiplin dalam menyimpan.

 

Pendapatan Bisnes Anda Sama Dengan Gaji

5 Persediaan Sebelum Berhenti Kerja Untuk Mula Bisnes

Ini merupakan tips yang sedikit selamat. Sebelum berhenti kerja anda haruslah pastikan jumah keuntungan bisnes anda sekarang hampir atau menyamai gaji anda sekarang. Sekurang-kurangnya apabila pendapatan bisnes sama dengan gaji anda tidak perlu risau akan kekurangan wang bulanan. Tambahan pula anda masih ada lagi wang simpanan yang disimpan rapi sebelum berhenti kerja.

Dalam berbisnes ini anda tidak boleh jadikan prestasi bulan lepas sebagai jaminan bulan ini. Jadi perlulah sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan dan mempertingkatkan lagi hasil berbanding bulan-bulan yang terdahulu.

 

Plan Bisnes Dengan Bijak

5 Persediaan Sebelum Berhenti Kerja Untuk Mula Bisnes

Jangan kita tiru orang lain. Orang berniaga kita pun mahu berniaga tapi adakah kita betul-betul mempunyai target dan matlamat dalam perniagaan. Pastikan anda membuat plan bisnes secara bijak supaya ada perancangan untuk mendapatkan keuntungan serta modal secara pantas.

Jika tidak pandai perlulah segera menuntut ilmu dari mereka yang lebih berpengetahuan dan pakar. Tetapkan matlamat anda sebulan selepas berhenti kerja berapa hasil pendapatan bisnes yang anda harus capai. Seterusnya berapa bulan yang perlu anda capai untuk menjadikan hasil pendapatan bisnes anda dua kali ganda dari gaji anda sekarang.

Jika mempunyai rakan seniaga pastikan mereka semua konsisten dengan target perniagaan anda. Selain itu pastikan plan ini diberikan fokus yang penuh kerana anda sudah menjadikan bidang perniagaan ini sebagai kerjaya tetap anda. Ingat bisnes itu adalah jangka masa yang panjang bukan jangka masa yang pendek.

 

Sanggup Bekerja Lebih Masa dan Terlebih

5 Persediaan Sebelum Berhenti Kerja Untuk Mula Bisnes

Ingat apabila berniaga anda bukan lagi seorang yang makan gaji walaupun anda usahakan bisnes anda sendiri. Perlulah bekerja lebih kuat dari sebelum ini. Perlu bekerja berkali ganda kuat daripada sebelum ini. Tak kisahlah 12 atau 18 jam sekalipun.

Ini kerana anda sekarang bekerja untuk diri sendiri dan untuk keuntungan diri anda sendiri bukan lagi untuk syarikat dan orang lain. Permulaan untuk tahun pertama hingga tahun ketiga merupakan tahun untuk anda berjuang sebaik mungkin dalam perniagaan anda.

Disiplin diri anda, konsisten dan berterusan tanpa jemu dan berputus ada. Dalam dunia bisnes ada naik turun. Ketika waktu naik janganlah terus cepat merasa berpuas hati sedangkan itu hanya permulaan. Manakala ketika waktu jatuh janganlah terus berputus ada kerana sesuatu yang harus kita perbetulkan.

Apabila kita berjaya kelak kepenatan itu menjadi kenangan yang manis!

 

Dapatkan Restu Ibu Bapa

Sebelum membuat keputusan pastikan berbincang dahulu dan mendapatkan nasihat daripada ibu bapa. Jika anda sudah berkahwin pastikan anda berbincang sebaiknya dengan pasangan anda. Supaya mereka faham apa yang anda matlamatkan. Kejayaan bermula dengan perjalanan yang lancar dan diiringi restu oleh ibu bapa, suami isteri dan anak-anak.

Rezeki akan lebih mudah masuk jika kita menjaga hubungan dengan mereka yang tersayang. Restu dan doa daripada mereka sangatlah bernilai untuk kejayaan. Jangan lupa untuk sentiasa kongsikan dengan mereka tentang perkembangan terkini bisnes kita.

 

Bergiat dalam penulisan blog bermula pada tahun 2010. Berkongsi tentang informasi, tips, teknik, kesihatan, pendidikan, bisnes dan gaya hidup yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Pendapat saya mungkin berubah-ubah dari semasa ke semasa. Terima kasih.

17 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge

error: Content is protected !!